DARO: Jalan Utama Kedua sepanjang 225 kilometer (km) menghubungkan Kuching ke Sibu dijadual siap 2028.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek terbabit bernilai RM5.5 bilion. Ia antara projek pembinaan jalan raya bernilai RM30 bilion dirancang Premier Sarawak mulai 2017.
“Projek Jalan Utama Kedua siap 30 peratus dan dijangka siap pada tahun 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Jambatan Muara Lassa yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Daro, di sini, hari ini.
Jambatan Muara Lassa berharga RM597.58 juta sepanjang 2,430 m menghubungkan Tanah Besar Daro dengan Pulau Bruit di Bahagian Mukah dengan pembinaanya bermula 22 Mac 2019 dab siap 9 Januari lalu.
Douglas berkata, projek jalan lain ialah Jalan Pesisir sepanjang 896km bernilai RM5.42 bilion menghubungkan Lundu ke Miri yang melalui Daro/Matu telah siap 80 peratus serta dilaporkan siap pada 2027.
“Satu lagi projek mega berdekatan adalah pembinaan Jambatan Batang Paloh bernilai RM299.5 juta,” katanya.
Katanya, jambatan ini menghubungkan Pulau Bruit ke Tanjung Manis dan seterusnya ke Sibu dan Sarikei.