Jambatan Marina ikon baharu Miri

MIRI: Bandaraya Miri bakal menikmati transformasi besar dalam sektor pelancongan dan perhubungan menerusi pembinaan Jambatan Marina yang dijangka menjadi mercu tanda ikonik baharu di utara Sarawak.

Projek mega ini bukan sahaja memberi impak kepada jaringan jalan raya, malah bakal melonjakkan status Miri sebagai pusat peranginan utama di wilayah tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, reka bentuk jambatan sepanjang 650 meter (m) itu membabitkan kos RM450 juta akan menampilkan elemen arkitek moden, termasuk laluan bertingkat dan ketinggian struktur mencecah 60 kaki.

Konsep pembinaannya menyerupai Jambatan Jepak di Bintulu, yang turut menjadi simbol pembangunan pesat di negeri ini.

“Jambatan ini bukan sekadar kemudahan perhubungan, tetapi juga bakal menjadi tarikan pelancongan. Ia bermula dari Pulau Melayu dan menghubungkan ke kawasan Marina, dengan pemandangan menarik sepanjang laluan termasuk pantai dan kawasan rekreasi,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di sini hari ini.

Selain peranan sebagai tarikan visual, Abang Johari berkata, jambatan ini juga akan merapatkan jurang antara kawasan pesisir dengan kawasan pusat bandar dan membantu mempercepat akses ke destinasi pelancongan berhampiran seperti Piasau Nature Reserve, Miri Golf Club dan pantai Marina.

Pembinaan dijangka siap dalam tempoh empat tahun dan akan memberi impak kepada ekonomi tempatan, ujarnya.

“Projek ini turut disokong dengan pembangunan jalan baharu dari Marina ke kawasan padang golf dan seterusnya menuju ke Marudi hingga ke Long Terawan dan Gunung Buda di Limbang, yang membuka peluang hubungan darat ke Brunei Darussalam melalui jaringan jalan rentas sempadan.

“Jaringan ini bakal membuka lembaran baharu untuk pelancongan ekopelancongan dan pelaburan rentas wilayah,” katanya.

Mengulas isu penempatan setinggan di sepanjang Sungai Miri, Abang Johari berkata proses pemindahan akan dilaksanakan secara berperingkat, bergantung kepada kemajuan projek pelabuhan laut dalam Kuala Baram yang dijangka mendorong pemindahan kawasan industri dan kediaman ke lokasi lebih strategik.