Jamuan teh akhiri Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke- 79 TYT Sarawak

KUCHING: Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melabuhkan tirainya dengan Majlis Jamuan Teh yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic di sini pagi tadi.

Tun Pehin Sri dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi tiba sekitar jam 10.30 pagi dan disambut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta anakanda beliau, Dayang Norjihan.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi majlis sambutan perayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri dan tetamu jemputan yang lain.

Pada majlis tersebut, Tun Pehin Sri dan Toh Puan berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper kepada 120 penerima yang terdiri daripada kalangan asnaf dan pelajar sekolah sekitar bandar raya ini.

Sumbangan wang tunai tersebut adalah daripada Astana Negeri Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, manakala hamper disumbangkan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan hiburan, diikuti upacara pemotongan pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran Tun.

Majlis Jamuan Teh ini merupakan acara penutup bagi Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak tahun ini bermula 9 Oktober lalu.

Sambutan ini merupakan perayaan rasmi kedua Tun sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak sejak dilantik memegang jawatan tersebut bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.

Beliau merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan yang dilantik secara rasmi pada 26 Januari 2024 di Istana Negara dan mengangkat sumpah pada 29 Januari 2024 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.