Jentera baharu tingkatkan keupayaan bomba Daro

DARO: Sebuah jentera baharu dibekalkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Daro di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata jentera itu antara aset penting yang bakal meningkatkan keupayaan pasukan bomba dalam melaksanakan tugas penyelamatan serta menangani insiden kecemasan.

“Ini seperti kebakaran, kemalangan dan bencana lain di kawasan Daro serta kawasan sekitarnya,”katanya ketika meninjau jentera terbabit di Majlis Iftar Ramadan bersama warga Balai Bomba dan Penyelamat Daro semalam.

Shafie berkata, anggota bomba merupakan barisan hadapan dalam memastikan keselamatan masyarakat dan penyediaan kelengkapan dan aset yang mencukupi amat diperlukan bagi memudahkan mereka menjalankan tugas.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daro atas dedikasi serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin walaupun terpaksa bertugas tanpa mengira masa, termasuk pada bulan Ramadan.

Beliau sehubungan itu berharap semangat kebersamaan seperti ini terus dipupuk melalui penganjuran program seumpama ini yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota agensi kerajaan, malah memupuk nilai perpaduan serta semangat muafakat dalam kalangan masyarakat.

Hadir sama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Hasman Bakar; Pegawai Daerah Daro, Zul Usup; wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Matu-Daro, Inspektor Muhammad Azani Adzha Muhd Azami; serta wakil Pengurus Ladang CPO Mill Jaya Tiasa, Amdan Amin.