JHS pacu pembangunan hijau Sarawak

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mengambil langkah proaktif dalam memajukan pembangunan hijau negeri melalui pengurusan hutan lestari, pemanfaatan teknologi digital dan kerjasama antarabangsa.

Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata JHS berperanan memastikan pembangunan ekonomi selaras dengan kelestarian alam sekitar.

Beliau menegaskan penggunaan sistem digital seperti EFIMS dan aplikasi REVLOG meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber semula jadi secara telus, cekap, dan berintegriti.

“JHS juga mempersijilkan 1.6 juta hektar hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), memperkenalkan lesen karbon hutan pertama negara, dan menanam lebih 50 juta pokok, melepasi sasaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

“Pencapaian ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 dan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 yang menekankan keseimbangan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penghargaan Pesara Jabatan Hutan Sarawak 2025, di sini, malam tadi.

Pada majlis sama, Awang Tengah turut menyampaikan penghargaan kepada pesara dan penerima APC sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa, dedikasi dan sumbangan mereka kepada jabatan.

Seramai 89 pegawai dan kakitangan menerima APC, manakala 35 penerima menerima Penghargaan Persaraan.