KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan projek Jalan Hubungan Sarawak Sabah (SSLR) Fasa 2 menerima pengiktirafan antarabangsa atas kejayaan menyampaikan kelestarian projek infrastruktur.
Kejayaan itu susulan JKR memenangi Anugerah Digital Bentley 2025 bagi kategori jalan dan lebuh raya.
JKR Sarawak dalam kenyataan di sini berkata, Anugerah Digital Bentley itu mengiktiraf kejayaan projek infrastruktur yang dilaksanakan oleh pekerja dalam membangunkan infrastruktur melalui inovasi digital untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris menerima anugerah berprestij 2025 itu di Amsterdam 16 Oktober lalu, selepas menyampaikan taklimat kepada panel hakim antarabangsa bebas mengenai inovasi digital yang digunakan untuk melaksanakan projek dan pengurusan asset projek SSLR2.
JKR Sarawak mengetepikan dua finalis lain dalam kategori jalan dan lebuh raya iaitu Arcadis (Australia) dan PowerChina ZhongNan Engineering Corporation Ltd. (China).
Kira-kira 250 pencalonan daripada 47 negara menghantarkan penyertaan bagi anugerah berprestij itu yang dianjurkan oleh syarikat peralatan sistem kejuruteraan infrastruktur Bentley. Duabelas finalis dipilih oleh panel pakar industri global bebas.