Kajian penubuhan sekolah perubatan di UTS

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melantik seramai enam ahli panel bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan penubuhan sekolah perubatan di universiti itu.

Mereka diberi tempoh enam bulan untuk menyediakan laporan kajian yang komprehensif bagi kebolehlaksanaan penubuhan sekolah itu bagi program ijazah perubatan di UTS.

Majlis pelantikan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee, di UTS, di sini, hari ini.

Ahli panel tersebut ialah Prof. Dr. Lela Suut dari Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Prof. Dr. Awi Idi dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS.

Seterusnya, Prof. Dr. Muhammad Zulkarnaen Ahmad Narihan dari Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS; Prof. Dr. Kamarudin Kana dari Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS; Dr. John Tang Ing Ching dari Rejang Medical Centre dan Dr. Alan Fong dari Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Umum Sarawak (HUS).

Selain itu, UTS turut melantik wakil dalaman bagi menilai dan menyemak semua hasil kajian kebolehlaksanaan tersebut, iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik) Prof. Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Dr. Sim Siew Ling dan Pensyarah Kanan, Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Dr. Zalikha Raman.