Kaunseling, bimbingan sosial fokus JKM bantu mangsa tekanan emosi – Nancy

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersiap sedia untuk memberi bantuan kepada mereka yang mengalami tekanan emosi bagi memastikan sokongan segera dan berkesan dapat disampaikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menjelaskan, kaunseling dan bimbingan sosial menjadi fokus JKM, selain menghubungkan mangsa dengan bentuk bantuan lain yang sesuai mengikut situasi masing-masing.

“Objektifnya bagi membantu individu dan keluarga menghadapi cabaran emosi dengan lebih terarah,” katanya Majlis Peluncuran Sahabat PSSS YKN: Mahasiswa Prihatin di Kolej Universiti i-CATS, hari ini.

Beliau menambah, pegawai JKM di seluruh negara, termasuk di peringkat daerah, sentiasa bersedia menyalurkan bantuan dengan cepat dan efisien, sambil mendekati mangsa bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi.

Nancy turut menekankan komitmen Malaysia terhadap rakyat Palestin, termasuk kerjasama dengan badan antarabangsa seperti Global Sumud Flotilla (GSF) dan pelbagai NGO bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan serta menyampaikan solidariti negara.

Beliau memuji usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan hak rakyat Gaza di arena antarabangsa, termasuk melalui perbincangan langsung dengan pemimpin dunia untuk mempercepatkan bantuan.