MUKAH: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus teguh selagi kekuatan di peringkat akar umbi kekal bersatu dan kukuh, kata Naib Yang di- Pertua parti, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Beliau menegaskan, kejayaan dan kestabilan parti politik tidak hanya bergantung kepada barisan kepimpinan, tetapi turut disokong oleh komitmen padu daripada ranting Pemuda, Wanita dan Belia parti.
“Tanpa keutuhan akar umbi, mana-mana parti sekalipun sukar untuk terus relevan dalam perjuangan politik masa kini,” katanya.
Dr Annuar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Santai dan Makan Tengahari bersama ahli-ahli Parti PBB di Mukah, semalam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat terbabif turut mengingatkan kekuatan sebenar parti terletak pada kesetiaan dan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur dalam kalangan ahlinya di setiap peringkat.
“Selama ini, kekuatan Parti PBB terbina atas hubungan yang erat antara pimpinan dan akar umbi. Kita tidak boleh mengetepikan peranan ranting dan cawangan yang menjadi nadi utama kepada kelangsungan perjuangan parti serta pelaksanaan agenda pembangunan negeri,” ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera parti di kawasan Tellian, Balingian dan Dalat atas kerjasama serta kepercayaan berterusan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian merangkap Ketua Cawangan Parti PBB Tellian, Royston Valentine, berkata pertemuan sebegini memberi ruang kepada ahli dan pemimpin untuk saling berinteraksi secara terbuka.
Jelasnya, sesi santai seperti ini bukan sahaja memperkukuh komunikasi dua hala, malah mengeratkan semangat kekitaan dalam kalangan keluarga besar Parti PBB.