Kelulusan bersyarat untuk bekal tenaga ke Singapura – SEB

SINGAPURA: Projek Sambungan Grid Tenaga Sarawak–Singapura menerima Kelulusan Bersyarat (CA) daripada Energy Market Authority (EMA) Singapura semalam.

Sarawak Energy Berhd (SEB) dalam kenyataan media berkata, dengan kelulusan CA itu menandakan satu pencapaian penting ke arah memperkukuh prospek keselamatan tenaga serantau serta meningkatkan integrasi ekonomi antara negara jiran dalam semangat ASEAN.

Dengan pengeluaran CA tersebut, SEB berkata, Projek Sambungan Grid Tenaga Sarawak–Singapura itu diiktiraf dan telah melalui penilaian awal dan didapati berdaya maju dari segi teknikal serta komersial.

SEB bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya bagi mendapatkan kelulusan serta lesen peraturan yang diperlukan untuk pembangunan lanjut projek berkenaan, kata SEB.

CA yang diberikan oleh EMA kepada konsortium terdiri daripada SEB dan Sembcorp Utilities Pte Ltd, kata SEB bertujuan mengeksport kira-kira satu gigawatt (GW) tenaga boleh diperbaharui dari Sarawak ke Singapura, dengan penyaluran tenaga dijangka bermula sekitar tahun 2035 atau lebih awal.

Majlis penyerahan surat kelulusan bersyarat tersebut disempurnakan oleh Penolong Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial EMA, Eugene Toh kepada Pengerusi Sarawak Energy yang juga Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Sarawak, Datuk Ibrahim Baki serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sembcorp Industries Ltd, Wong Kim Yin.

Majlis turut disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong.

Premier Sarawak menzahirkan rasa gembira terhadap perkembangan positif itu yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah memperkukuh jaringan tenaga serantau dan merealisasikan Wawasan Grid Tenaga ASEAN.

Beliau berkata, Sarawak gembira dengan perkembangan positif projek Sarawak-Singapura ini yang membawa nilai besar dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk membangunkan Grid Tenaga ASEAN yang lebih luas.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.