KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini menyelar kenyataan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berhubung status Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam mengawal selia sumber minyak dan gas di Sarawak.
Kenyataan menteri tersebut disifatkan sebagai tidak berasas kerana hanya melihat kepada teks literal perjanjian tanpa mempertimbangkan konteks sejarah dan kerangka perlembagaan yang lebih luas.
Pemuda Parti PBB dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menegaskan bahawa ketiadaan sebutan khusus mengenai minyak dan gas dalam MA63 bukan alasan untuk mengenepikan hak undang-undang negeri yang sedia ada.
“Mereka menekankan bahawa Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 masih sah dan berkuat kuasa sepenuhnya kerana ia tidak pernah dimansuhkan sejak sebelum pembentukan Malaysia,” katanya.
Menurut Pergerakan Pemuda itu lagi, OMO 1958 dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan sebarang cubaan menafikan keberkesanannya adalah satu tindakan mencabar kedaulatan undang-undang Sarawak.
Tafsiran sempit terhadap MA63 dikhuatiri akan menghakis semangat persekutuan serta menggugat keharmonian hubungan antara Putrajaya dan Kerajaan Sarawak.
Pemuda parti turut mempersoalkan mengapa cabaran undang-undang oleh PETRONAS terhadap Sarawak masih berlaku sedangkan Perdana Menteri telah mengiktiraf peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Isu ini dilihat bercanggah dengan pengiktirafan PETROS sebagai pengagregat gas negeri yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Mereka menuntut jaminan agar sebarang pertikaian sumber asli pada masa hadapan diselesaikan melalui rundingan harmoni dan bukannya melalui heretan ke meja mahkamah.
Sehubungan itu, Pemuda Parti PBB menegaskan sokongan padu kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mempertahankan hak negeri dan enggan berkompromi terhadap kedaulatan sumber asli Sarawak.
