Kepolisan komuniti perkukuhkan hubungan polis, masyarakat

MUKAH: Kerjasama erat antara Polis dan masyarakat memainkan peranan penting dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan moden.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, ancaman tersebut termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian serta isu keselamatan komuniti yang semakin mencabar.

Beliau berkata, pendekatan kepolisan komuniti yang dilaksanakan PDRM mampu memperkukuhkan hubungan antara polis dan masyarakat.

“Apabila kedua-dua pihak bergerak seiring, usaha membanteras jenayah serta memelihara keselamatan akan menjadi lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di Dewan Serbaguna IPD Mukah.

Abdul Yakub berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota polis dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Sejak penubuhannya lebih dua abad lalu, polis memainkan peranan besar dalam mempertahankan keamanan negara.

“Di sebalik ketenangan yang dinikmati masyarakat hari ini, terdapat pengorbanan besar anggota polis bersedia berdepan pelbagai cabaran dan risiko demi melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga IPD Mukah yang komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam di daerah ini.

Turut hadir ADUN Tellian, Royston Valentine dan Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias.