Kerajaan GPS biayai deposit beli rumah pertama

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi deposit pembelian rumah pertama melebihi RM250,000 bagi lebih 250 unit rumah Perumahan Vision Hill Sri Pertiwi di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, deposit berjumlah RM10,000 setiap rumah
tidak perlu dibayar balik kerana kesemuanya ditanggung kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Pembeli rumah hanya menyambung pembayaran setiap bulan kepada ‘Mutiara Mortgage and Finance’, ini saya lihat banyak memudahkan pembeli rumah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Vision Hill Sri Pertiwi, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, setakat ini deposit itu diberikan bagi pembelian keseluruhan sebanyak 1,900 unit rumah di Sarawak.

“Kita akan membantu lebih banyak lagi rakyat Sarawak untuk memiliki rumah pertama memandangkan banyak projek perumahan mampu milik yang dijalankan sekarang,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman.