KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menilai secara strategik penggunaan teknologi angkasa, termasuk pelaksanaan sistem satelit kecil seperti CubeSat, yang dilihat berpotensi mengurangkan risiko kewangan kepada negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi tersebut sesuai digunakan bagi pemantauan persekitaran dan tanah di seluruh Sarawak, termasuk sebagai salah satu kaedah pengurusan dan kawalan banjir.
Katanya, CubeSat mampu mengumpul data terperinci mengenai ciri tanah seperti kawasan paya bakau dan aliran air, sekali gus membantu kerajaan merancang pembinaan kolam tadahan air di kawasan berisiko banjir.
Bagaimanapun, kerajaan negeri akan menilai secara menyeluruh implikasi kos dan aspek teknikal sistem berkenaan, khususnya jangka hayat satelit yang hanya bertahan antara empat hingga lima tahun.
“Setiap sistem mempunyai jangka hayat tertentu dan selepas tempoh itu, satelit baharu perlu dilancarkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Asia Pacific Aerospace Conference & Exhibition (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), petang tadi.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa pelaksanaan teknologi tersebut tidak akan dilakukan dalam masa terdekat kerana memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan melalui Fakulti Aeroangkasa Kolej Universiti i-CATS dengan kerjasama Tsinghua University dan Istanbul Technical University.
Menurut beliau, industri satelit memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 juruteknik berkemahiran bagi menyokong operasi teknologi tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian serta barisan menteri, timbalan menteri, pegawai kanan kerajaan dan kenamaan lain.
