KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 17 kes jangkitan rabies setakat November ini dengan 15 daripadanya melibatkan kes kematian.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Atom berkata, jumlah kumulatif kes rabies itu dari 2017 sehingga kini adalah 72 kes membabitkan 65 kematian.
“Jangkitan ini sebenarnya boleh dicegah dengan kerjasama antara pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), majlis berkuasa tempatan dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Kongres Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (FAVA) Ke-22 dan Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) Ke-33 di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, pagi tadi.
Bercakap pada sidang media selepas perasmian kongres, Dr Rundi berkata teknologi diperlukan bagi memelihara kesihatan serta kesejahteraan haiwan selain pencegahan penyakit zoonosis.
“Saya dimaklumkan bahawa populasi haiwan akan mencecah 9 bilion antara 2030 hingga 2050 sehingga pelbagai virus zoonosis yang tidak diketahui mungkin bakal berlaku kelak.
“Seperti yang kita dapat lihat hari ini bahawa begitu banyak virus tetapi hanya lima peratus yang kita ketahui dan 95 peratus baharu dikesan. Jutseru, pada bila-bila masa ia boleh menular seperti Covid-19,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengerusi Kongres FAVA dan MVMA, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.