Keselamatan jalan raya dalam pendidikan kanak-kanak tadika

LIMBANG: Keselamatan jalan raya mungkin dimasukkan dalam subjek pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.

“Mungkin juga dapat disisipkan pendidikan keselamatan jalan raya dalam pendidikan Tadika Kemas dan sebagainya,” katanya di Majlis Apresiasi Tabika/Taska Kemas sesi 2023 dan 2024 bagi Parlimen Limbang di Dewan Suarah di sini, baru-baru ini.

Hasbi Habibollah berkata, ketika ini kementerian terbabit mempunyai satu agensi di bawah Bahagian Pendidikan Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memberikan pengetahuan dan kemahiran asas keselamatan jalan raya kepada kanak-kanak.

Turut sama ialah Wakil Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi dan Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Limbang Khairul Amree Abdul Rahman.