LAWAS: Dua projek strategik kerajaan negeri di sini, akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan utara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek pertama, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Lawas kini sudahpun beroperasi.
Manakala, pembinaan Klinik Kesihatan Lawas dijangka siap pada Oktober tahun ini, katanya kepada media selepas meninjau kemajuan projek itu di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, kedua-dua projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang perkhidmatan asas antara bandar dan luar bandar.
Klinik Kesihatan Lawas dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini, meskipun terdapat sedikit kelewatan akibat keperluan kerja tambahan di tapak pembinaan, katanya.
Beliau menambah, beberapa peralatan perubatan telah pun berada di lokasi dan sedia untuk dipasang.
Beliau berkata, klinik itu dijangka dapat memberi perkhidmatan kepada kira-kira 300 pesakit setiap hari dengan kemudahan yang lebih selesa, moden dan efisien.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah kampus baharu CENTEXS Lawas yang telah dibina kini beroperasi dengan kapasiti pelajar antara 500 hingga 700 orang, berbanding hanya 120 pelajar sebelum ini.
Kampus berkenaan menawarkan 21 program latihan kemahiran merangkumi pelbagai bidang seperti minyak dan gas, teknologi makanan, data dan teknologi maklumat, jahitan, hospitaliti serta budaya tempatan.