Klinik Kesihatan Jenis 3 dirancang untuk Sri Aman

SIMANGGANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang mewujudkan Klinik Kesihatan (KK) jenis 3 di Sri Aman yang mampu menerima lebih ramai pesakit.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, ini kerana KK Sri Aman sedia ada ialah jenis 4 telah menerima antara 300 hingga 500 pesakit sehari yang melebihi had kapasiti sebenarnya.

“Keperluan untuk mewujudkan KK jenis 3 di sini juga perlu apabila Sri Aman dan Betong bakal dihubungkan dengan jaringan jalan raya yang lebih singkat pada masa akan datang,” katanya ketika lawatan kerjanya ke KK Sri Aman di sini, hari ini.

Lukanisman berkata, ini menyebabkan Sri Aman bakal menjadi lokasi tumpuan yang lebih mudah untuk didatangi pesakit dari Betong.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Bahagian Perancangan dan Pembangunan KKM untuk merancang mendapatkan dana dan kelulusan pengujudan KK jenis 3 di Sri Aman.