Kontinjen Zon Selatan dahului pungutan pingat emas SUKSAR III

SIBU: Kontinjen Zon Selatan mengumpul sebanyak 41 pingat emas sekali gus mendahului Sukan Sarawak (SUKSAR) III yang masuk hari ketiga, setakat jam 4 petang hari ini.

Pingat emas disumbangkan menerusi acara wushu dengan 17 pingat, taekwando (11), angkat berat (lima), judo (empat) dan masing-masing dua pingat menerusi acara berbasikal dan karate.

Kontinjen Zon Selatan juga memungut sebanyak 24 perak dan 17 gangsa manakala Kontinjen Zon Tengah pula berjaya mengumpul sebanyak 30 pingat emas, 33 perak dan 38 gangsa.

Kontinjen Zon Utara pula berjaya mengutip sebanyak 25 pingat emas, 35 perak dan 43 gangsa serta Kontinjen Zon Barat mendapat sebanyak lima pingat emas, tujuh perak dan 24 gangsa.

SUKSAR III 2023 menyaksikan 13 acara dipertandingkan sekitar bandar ini, disertai lebih 1,200 atlet bermula 15 hingga 18 Januari ini.

Kontinjen atlet terbabit dari Zon Utara (Limbang, Miri dan Bintulu), Zon Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian), Zon Tengah (Sibu, Kapit dan Mukah) dan Zon Barat (Sarikei, Betong dan Sri Aman).