LAWAS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini akan diketuai seorang pegawai berpangkat Supretenden dalam proses naik taraf perjawatan yang melibatkan semua IPD.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Zainal Abdullah berkata, hanya polis kontinjen Sarawak yang belum dinaik taraf berbanding lain-lain negeri di negara ini.
Pucuk pimpinan PDRM berusaha untuk menaik taraf perjawatan berkenaan, katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan tertinggi polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas hari ini.
Katanya, beliau akan berusaha untuk merealisasikannya agar tidak ada lagi OCPD atau Ketua Polis Daerah yang berpangkat DSP.
“Sarawak ini adalah kontinjen terakhir tetapi masih dalam proses untuk kita menaik taraf dan berharap kita akan dapat mempercepat naik taraf Ketua Polis Daerah kepada Superintenden termasuk di daerah Lawas,” katanya.
Beliau juga memberitahu, Polis Kontinjen Sarawak akan turut menghantarkan anggota ke Sabah bagi membantu kelancaran proses pilihan raya negeri Sabah yang akan diadakan pada 29 November depan.
Namun demikian, katanya, perkara ini akan diputuskan kepimpinan di Bukit Aman dan juga jumlah sumber manusia yang diperlukan polis kontinjen Sabah dan keutamaan akan diberikan kepada ibu pejabat polis berhampiran dengan Sabah.
Beliau juga memberitahu, semua anggota polis daripada negeri Sabah mempunyai hak mengundi sejajar dengan prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).