LBAS: AirAsia dilantik rakan penerbangan rasmi, perkhidmatan e-hailing

KUALA LUMPUR: AirAsia dilantik sebagai rakan penerbangan rasmi dan rakan perkhidmatan e-hailing bagi penganjuran Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra menyifatkan penglibatan dalam LBAS sebagai penghormatan besar kepada komuniti Sarawak yang lama menjadi sebahagian daripada keluarga AirAsia.

Beliau berkata, acara ini bukan sahaja menyatukan rakyat Sarawak di perantauan, tetapi turut mengukuhkan peranan syarikat itu dalam membina jaringan kebersamaan yang melangkaui sempadan geografi.

“Sebagai sebahagian daripada sokongannya, AirAsia akan menawarkan promosi istimewa sepanjang acara berlangsung, termasuk diskaun untuk tambang penerbangan dan bagasi berdaftar.

“Pelajar Sarawak juga boleh memanfaatkan program subsidi FLYsiswa yang ditawarkan terus di tapak acara, membantu mereka mendapatkan perjalanan pulang dengan lebih mudah dan mampu milik,” katanya dalam kenyataan.

Dalam memastikan akses yang lancar ke lokasi acara, AirAsia turut mengaktifkan kerjasama dengan perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride.

Kod promosi khas disediakan untuk pengguna yang berlepas dari lapangan terbang utama di Lembah Klang serta kawasan sekitar, bagi menikmati potongan harga perjalanan ke MITEC, katanya lagi.

Selain AirAsia, syarikat insurans Tune Protect turut menyertai acara ini dengan memperkenalkan penyelesaian perlindungan perjalanan melalui pameran interaktif yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keselamatan dan kemudahan yang ditawarkan.

Berlangsung pada 25 Oktober ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, LBAS 2025 merupakan satu platform tahunan yang menghimpunkan anak-anak Sarawak di Semenanjung Malaysia dalam suasana penuh kekeluargaan.