KUCHING: Majlis Penasihat Unit Untuk Agama-agama Lain (UNIFOR) ditubuhkan secara rasminya hari ini dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dipilih sebagai Pengerusinya.
Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab terhadap UNIFOR semasa berucap pada majlis itu berkata, usaha untuk menubuhkan majlis berkenaan terpaksa dilewatkan disebabkan pandemik Covid-19 dan perubahan dalam pucuk kepimpinan UNIFOR.
Majlis Penasihat UNIFOR itu dianggotai 16 ketua pemimpin agama bukan Islam di seluruh negeri ini.
UNIFOR sangat memerlukan majlis seperti ini bagi menangani isu-isu berkaitan agama yang mungkin berbangkit dari semasa ke semasa, katanya dan menambah, rakyat sekarang hidup di dunia tanpa sempadan dan dalam perkembangan teknologi.
Uggah menegaskan, selain itu, perkembangan politik di dunia juga mungkin boleh menimbulkan banyak masalah yang pastinya menjadi satu cabaran.
“Kita tidak mahu masalah terutama berkaitan agama dari luar negeri ini menyusup masuk ke Sarawak untuk mewujudkan kekeliruan, rasa marah, merosakkan keharmonian dan perpaduan hidup dalam kalangan rakyat,” tegas beliau.
Dengan mempunyai Majlis Penasihat UNIFOR itu, tambahnya, rakyat Sarawak memiliki forum untuk berbincang dan mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan masalah berhubung isu agama.
Beliau menegaskan, jika isu agama itu diperdebatkan, ia mungkin sukar untuk ditangani.
Uggah menambah kata, anggota-anggota dalam majlis itu juga boleh membantu UNIFOR memantau pelaksanaan projek yang diluluskan di lapangan dan peruntukan bagi membina dan membaik pulih rumah ibadah perlu dibelanjakan terus.
“Saya mendapati ada di antara penerimanya tidak berbuat demikian. Dasar UNIFOR ialah tidak akan melayan mana-mana permohonan kecuali diperuntukkan yang diberikan dibelanjakan,” tegas beliau.
Mengenai kompleks UNIFOR berharga RM80 juta yang sedang dalam pembinaan, katanya, projek itu kini 70 peratus siap dan sejurus siap tahun hadapan, setiap agama yang berdaftar dengan UNIFOR boleh menggunakannya untuk menganjurkan program demi mengeratkan perpaduan dan keharmonian hidup rakyat.
Pengarah UNIFOR, Datu Jack Aman dalam ucapan aluannya berkata, tugas majlis itu untuk memupuk semangat setiakawan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang agama dan menangani isu berkaitan agama secara bijaksana.
