RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023, Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 diselaras semula

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 akan diselaras semula melalui libat urus oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersama Kerajaan Sarawak dan Sabah.

Perkara itu dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Negara selepas menerima usul dari lapan Ahli Dewan Negara dari Sarawak yang diketuai Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim hari ini agar kedua-dua RUU dipinda kerana terdapat ketidakselarian dengan amalan kerajaan terdahulu.

Susulan usul itu, NRECC memohon untuk menangguhkan Bacaan Kali Kedua kedua-dua RUU pada sidang Dewan Negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad memberitahu pindaan terhadap RUU diusulkan kerana tidak memastikan hak sama diberikan kepada Negeri Sarawak seperti yang termaktub di Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990.

“RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 ini diluluskan di Dewan Rakyat 10 Oktober lalu dan pada dasarnya kami Ahli Dewan Negara menyokong RUU yang digubal untuk menambah baik kecekepan penggunaan tenaga di Malaysia.

“Namun begitu setelah salinan RUU tersebut diedarkan kepada Ahli Dewan Negara, penelitian kami mendapati bahawa RUU ini membenarkan YB Menteri NRECC untuk memanjangkan penggunaannya ke atas Negeri Sarawak.

“Tindakan ini adalah tidak selari dengan praktis terdahulu oleh Kerajaan Persekutuan iaitu seperti Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 dimana penggunaannya tertangguh kepada Negeri Sarawak,” katanya.

Menurutnya, permohonan cadangan pindaan itu terhadap kedua-dua RUU tersebut bagi memastikan hak yang sama diberikan kepada Negeri Sarawak seperti yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990.

Tambahnya, Ahli Dewan Negara dari Sarawak menyambut baik penangguhan oleh pihak NRECC yang mengambil perhatian kerisauan mereka terhadap kelompongan ini yang terkait dengan kuasa autonomi Negeri Sarawak di dalam bidang elektrik dan juga kepelbagaian sumber tenaga yang ada di negeri ini.

“Dalam menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri Sarawak, kami sebagai Ahli Dewan Negara yang mewakili Negeri Sarawak bertanggungjawab di dalam kapasiti kami untuk memastikan hak-hak yang ada pada Sarawak harus dipertahankan oleh supaya tidak ada lagi penghakisan kuasa dan hak samada sengaja atau tidak disengajakan,” katanya.