MATU: Pihak sekolah dan ibu bapa termasuk di kawasan Parlimen Igan di sini diminta menjalinkan kerjasama yang erat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kerjasama ini perlu dalam melaksanakan sesuatu objektif bagi memajukan sekolah.
“Dalam melaksanakan sesuatu objektif kerjasama yang erat di antara pihak sekolah dan ibu bapa amat diperlukan agar sekolah lebih maju dan cemerlang,” katanya di Majlis Khatam Al-Quran peringkat Sekolah Kebangsaan Bawang Tian di Dewan Terbuka Kampung Tian, di sini, hari ini.
Seramai 82 pelajar termasuk enam pelajar pendidikan khas diraikan di majlis itu dengan objektif memupuk semangat kecintaan kepada al-Quran dan menarik minat pelajar membaca dan berusaha mengkhatam al-Quran.
Ahmad Johnie sehubungan itu mengucapkan tahniah kepada inisiatif dan semangat guru dan ibu bapa sekolah terbabit dalam menjayakan majlis itu.
Katanya, tidak dinafikan peranan guru dalam menyampaikan ilmu adalah perkara asas dalam pembentukan sahsiah seseorang.
“Ibu bapa juga tidak ketinggalan menyumbangkan tenaga dan wang ringgit bagi membina ‘tandu’ yang digunakan bagi meraikan anak-anak mereka.
Perarakan 21 kenderaan dan enam tandu yang telah dihias bagi membawa peserta, persembahan nasyid pelajar dan persembahan marhaban oleh guru-guru SK Bawang Tian turut diadakan.
Turut hadir Pengerusi PIBG SK Bawang Tian, Mariam Len, Pemanca Daerah Matu Asri Dolah.
Gambar: Jabatan Penerangan Sarawak
