KUCHING: Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) harus memantau bekalan dan permintaan cergas terhadap lada hitam dengan mengambil kira pengaruh paras harga, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, negara-negara pengeluar lada perlu terus berusaha mengekalkan bekalan, menstabil harga dan meningkatkan penggunaan.
“Paling penting harus mengeratkan kolaborasi supaya sentiasa konsisten, aktif dalam menggalak peningkatan lada hitam di dalam dan luar negara,” katanya merasmikan Sesi dan Mesyuarat Tahunan Ke-51 Komuniti Lada Antarabangsa dan Pameran Rempah Antarabangsa (IPC ASM ISE Ke-51) di sini.
Ia dianjurkan IPC dengan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Lembaga Lada Malaysia. Lima negara anggota IPC yang menghadiri sesi dan mesyuarat itu ialah India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam.
IPC adalah sebuah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan 1972 di bawah Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia dan Pasifik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu UNESCAP).
Fadillah menegaskan, Malaysia adalah negara pengeluar kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia dan mengikut laporan 2022, Malaysia menghasilkan 32,724 tan lada.
Setakat ini, Malaysia mempunyai seramai 38,587 pekebun kecil lada dengan keluasan tanaman 8,091 hektar, katanya dan menambah, negara-negara anggota IPC pada 2022 menghasilkan 65 peratus pengeluaran lada dunia.
Bertemakan ‘Mengimbangi Bekalan dan Permintaan Lada – Menangani Tekanan Harga’, beliau berkata, sesi dan mesyuarat tahunan ke-51 itu fokus kepada cabaran pasaran lada global.
Fadillah berkata, menerokai pasaran bukan konvensional untuk penggunaan lada boleh memperluaskan lagi pasaran lada dan sekali gus mengembangkan pertumbuhan mampan industri lada hitam global.
Ditemui media kemudian, Fadillah memberitahu, Malaysia mengeksport minyak sawit bernilai lebih RM14 bilion kepada China tahun ini.
“Eksport minyak sawit ke China menunjukkan peningkatan yang konsisten. Tunggu penghujung tahun ini untuk mengetahui nilai sebenarnya,” katanya dan menegaskan, delegasi Malaysia akan mengadakan lawatan ke China bagi mengukuhkan lagi dagangan kedua-dua negara khususnya berkaitan minyak sawit.