BINTULU: Penyerahan kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu menandakan kejayaan usaha sama antara PETRONAS dengan Kerajaan Sarawak dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), kata Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Beliau berkata, pembangunan MRSM Bintulu itu selaras dengan aspirasi memperkasakan pembangunan modal insan yang berketrampilan.

PETRONAS merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak dan MARA dalam menjayakan projek usaha sama itu, katanya pada majlis pembukaan rasmi kampus MRSM Bintulu oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan penyerahan kampus tersebut oleh PETRONAS kepada Kerajaan Negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak yang seterusnya menyerahkannya kepada MARA bagi urusan pengoperasiannya.
MARA diwakili Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.
Upacara simbolik penyerahan antara ketiga-tiga entiti diwakili Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Farehana Hanapiah,
Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli dan Ketua Pengarah MARA, Dato Sri Azhar Abdul Manaf.
Kampus MRSM Bintulu yang melibatkan kos pembinaan RM122 juta dan akan beroperasi mulai Mac 2024, menyediakan peluang kepada pelajar di Sarawak mendapatkan pendidikan berkualiti serta merangsang minat kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Sementara itu, Rubiah berkata, kerjasama antara MARA, Kerajaan Negeri Sarawak dan PETRONAS akan menjadi pemacu pembangunan pendidikan di Bahagian Bintulu terutara dalam aspek modal insan.
“MARA akan terus komited dalam memastikan pembangunan sektor keusahawanan dan pendidikan sentiasa diutamakan.
Manakala kementerian akan terus menjadi wira desa dalam mensejahterakan luar bandar dan membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat di Sarawak,” katanya.
Berkeluasan 22,000 meter persegi, MRSM Bintulu mempunyai kapasiti untuk menampung 450 pelajar. MRSM Bintulu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bangunan pentadbiran, blok akademik, pusat sumber, asrama pelajar, pusat pelajar, dewan makan, dewan serbaguna, pavilion, kediaman kakitangan, kediaman guru, bangunan sampingan dan kemudahan sukan.