MSSB Kuching juarai Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2025

KUCHING: Pasukan Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Kuching muncul juara Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2025 selepas menewaskan MSSB Serian 1-0 dalam aksi final sengit dalam kejohanan bola sepak di Stadium Negeri, Petra Jaya hari ini.

MSSB Mukah dan MSSB Betong melengkapkan senarai empat pasukan terbaik, masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut diiringi Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut diumumkan beberapa anugerah khas kejohanan, termasuk Anugerah Pemain Harapan yang disandang Akqmal Al-Halim Duat dari MSSB Betong, manakala Anugerah Penjaring Terbanyak dimenangi Danish Darren Edruce dari MSSB Limbang selepas mencatatkan empat jaringan sepanjang kejohanan.

Anugerah Pemain Perpaduan pula menjadi milik Mohammad Dzuelazriel Sim dari MSSB Mukah, sementara Anugerah Fair Play turut dimenangi pasukan MSSB Mukah atas disiplin dan semangat kesukanan yang dipamerkan.

Tahun ini, kejohanan menyaksikan penyertaan 12 MSSB bagi kategori Bawah 16 Tahun, melibatkan 240 pemain, 101 pegawai pasukan dan 112 ahli jawatankuasa yang berkampung di Kuching selama enam hari bagi memastikan kelancaran penganjuran.

Pertandingan ini juga menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat bawah 16 tahun bagi diserap ke pasukan MSSS, MSSM serta program pembangunan di Sekolah Sukan Negeri. — UKAS