Mutang mampu laksana tugas dengan baik – Awang Tengah

LIMBANG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yakin Senator Datuk Mutang Tagal mampu melasanakan tanggungjawabnya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 dengan baik.

Katanya, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu mempunyai kebolehan dan pengalaman luas selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen.

Awang Tengah turut menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana sekali lagi memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk mengisi jawatan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa kunjungan Tahun Baharu Cina di sekitar Limbang, semalam.

Jawatan Yang Dipertua Dewan Negara sebelum ini dipegang oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum beliau dilantik sebagai TYT pada 26 Januari lalu.

Nama Mutang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Negara pada Isnin.

Pelantikan Mutang yang berasal dari Lawas sebagai Yang Dipertua Dewan Negara mencipta sejarah tersendiri selepas muncul sebagai tokoh pertama dari etnik Lun Bawang menyandang jawatan tinggi tersebut.

Difahamkan, Mutang yang juga pengamal undang-undang akan menggalas tugas tersebut selama 3 tahun bermula dari 15 Februari 2024 hingga 14 Februari 2027.