Muton Kara berpotensi sebagai jelapang padi baharu

PUSA: Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi mentransformasikan kawasan Muton Kara, Undai di sini sebagai jelapang padi baharu di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor berkata, inisiatif itu bukan sahaja untuk meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan, malah menjadi antara usaha memperkukuh ekonomi penduduk setempat melalui pelbagai sumber berasaskan pertanian.

“Melalui pelbagai sumber berasaskan pertanian di kawasan, Beting Maro sesuai dijadikan tempat mengeluarkan hasil serta produk tempatan untuk Sarawak,” katanya semasa Program Krismas Dan Sambutan Ambang Tahun Baharu di rumah panjang Muton Kara, Undai, di sini hari ini.

Bagi mengukuhkan ekonomi serta meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan Beting Maro, kerajaan negeri akan merancang program dan aktiviti untuk tahun akan datang.

Justeru, beliau menggesa agar penduduk Beting Maro gigih meningkatkan taraf hidup dengan pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan kelak.