OMO 58, PDA 74 perlu wujud bersama untuk minyak, gas

KUCHING: Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 58) dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) perlu wujud bersama bagi memastikan pelaksanaan industri minyak dan gas berjalan lancar di negara ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, biarpun Sarawak mempunyai hak tersendiri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk melaksanakan undang-undang dan ordinan sendiri, namun kedua-dua akta ini harus dilaksanakan bersama.

“Apa yang kita cadangkan ialah PDA 74 dan OMO adalah dua undang-undang yang mesti wujud bersama. Ia mesti digabungkan dan dilaksanakan bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Meja Bulat Forum Kerjasama Malaysia (Sarawak)-China Dan Bandar-Bandar Persahabatan di sini.

Tegas beliau, hak Sarawak terhadap semua mineral dan sumber semula jadi di bawah dasar laut dan subsoil dalam sempadan laut miliknya adalah mutlak.

Namun katanya, sesiapa sahaja boleh datang dan meneroka serta membangunkan sumber miliknya asalkan mereka mendapatkan kebenaran, memohon permit dan sebagainya dari Kerajaan Sarawak.

Menurut Hasidah lagi, Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan pelbagai negara dalam memastikan pembangunan terus dijalankan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Ketika ini, Sarawak sedang menjalinkan kerjasama erat dengan China dan negara-negara lain di rantau Asia dalam usaha untuk menarik pelabur datang ke negeri ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Ming Tee; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman.