SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya membawa banyak lapisan kejayaan kepada Sarawak.
Setiausaha Agung Parti PBB, Dato, Sri Alexander Nanta Linggi berkata, antaranya ialah Kerajaan Sarawak kini mempunyai kuasa penuh mengawal selia aktiviti pengedaran gas di Sarawak dan mengenakan cukai Jualan Negeri sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum.
Katanya, ini telah meningkatkan jumlah hasil Sarawak melebihi RM10 bilion setahun untuk melaksanakan banyak projek pembangunan di bandar dan luar bandar.
“Kedua, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)dengan sumbangan geran sehingga RM10 juta setahun kepada sekolah Cina persendirian,” katanya semasa Konvensyen Khas Parti PBB dirasmikan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Kingwood, di sini.
Akexander berkata, pemegang sijil itu boleh menyertai perkhidmatan awam negeri, memohon biasiswa dari Yayasan Sarawak, malah memasuki Universiti Teknologi Sarawak milik kerajaan negeri.
Katanya, Sarawak juga berjaya mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua, yang mana ia penting untuk Sarawak terus kekal relevan ketika memasuki era ekonomi digital.
Menurutnya, ini ditambah janji dan tekad Kerajaan Sarawak untuk membina makmal teknologi sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan (STEM) di setiap daerah dan sekolah.
“Kelima (Sarawak) memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), pemilik dan pengendali Empangan Bakun, daripada Kementerian Kewangan Diperbadankan, Kerajaan Persekutuan dan diletakkan di bawah Sarawak Energy Berhad (SEB),”katanya.
Katanya, dengan perolehan ini, Kerajaan Sarawak memiliki pemilikan penuh ke atas semua kemudahan penjanaan elektrik di Sarawak dan akan menjadi pemangkin strategik bagi negeri untuk menceburi ekonomi digital.
Selain itu, katanya Kerajaan Sarawak juga berjaya mendapat penurunan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensiteknikal Sarawak dan menubuhkan Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat demi masa depan negeri dan rakyat Sarawak.
“Terkini, melalui Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, memperuntukkan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak,” katanya.