DARO: Masyarakat peniaga di sini perlu merebut peluang untuk meningkatkan pendapatan di Pasar Malam Daerah Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad yang merasmikan pembukaan pasar malam di Tapak Pesta Daro di sini berkata, pasar malam itu merupakan satu lagi peluang bagi membantu usahawan kecil menjana ekonomi.
Pasar malam yang diusahakan oleh Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) itu memberi peluang kepada usahawan kecil mengembang perniagaan dan menjana ekonomi, katanya.
Pasar malam itu beroperasi pada setiap hari Selasa dan Rabu bermula dari jam 5.30 petang hingga 10 malam dan disertai oleh 39 peniaga.
Bagaimanapun katanya, pasar malam itu boleh diperbesarkan jika mendapat sambutan.
“Semoga usaha ini menjadi peluang yang dimanafaatkan untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui perniagaan,” katanya sambil mengalukan rakyat datang beramai-ramai ke pasar malam itu.
Hadir sama Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli, Pemangku Setiausaha MDMD, Sabli Razak dan Ketua Seksyen Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar MDMD, Apohrozy Ezrie Ellie.