KUCHING: Penyertaan pelajar dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak masih rendah pada kadar 13 peratus.
Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata ini meskipun kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha menggalakkan pelajar mengambil jurusan tersebut.
“Saya masih ingat ia hanya 13 peratus. Sesetengah sekolah langsung tiada pendaftaran bagi Tingkatan 4 aliran STEM A,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Sarawak Space Challenge 2025 (SSC) di Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.
Dalam usaha memperkukuh strategi pendidikan STEM, beliau menjelaskan pasukan khas STEM
akan ditubuhkan tidak lama lagi di seluruh Sarawak.
Katanya, program ini akan membuka peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran STEM dalam projek nyata, sekaligus melahirkan generasi muda yang kreatif, celik teknologi dan bersedia memimpin masa depan digital Sarawak.