BINTULU: Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memelihara dan membudayakan warisan bangsa etnik Vaie, Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) memberi komitmen maksima untuk memastikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencapai kecemerlangan dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Jepak pada Sabtu ini.
Presiden PAVB, Pandi Suhaili berkata, PAVB tetap menjadi sebahagian benteng utama yang mempertahankan kecemerlangan pemimpin GPS pada masa kini demi memastikan Sarawak lebih berjaya dan makmur.
PAVB dan seluruh ahlinya menyokong penuh calon GPS, Iskandar Turkee yang bertanding dalam PRK DUN N67 Jepak, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
PAVB dan seluruh ahlinya berpendirian tegas dan teguh dengan menyatakan sokongan penuh terhadap pucuk kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Open dan GPS, katanya.
Pandi menegaskan, PAVB menolak sebarang bentuk spekulasi dan fitnah yang sedang menjalar semasa kempen PRK DUN Jepak dengan tujuan mencemar nama baik Presiden PAVB serta pucuk kepimpinannya serta seluruh jajaran ahlinya.
“Sebagaimana yang dibuatkan sebelum ini, saya dan PAVB dengan penuh iltizam menjunjung semangat perpaduan dan kesetiaan dan menggesa ahli PAVB supaya bersama-sama menyatakan komitmen dan sokongan padu kepada calon GPS yang bertanding dalam PRK DUN Jepak,” tegas beliau.
Menurut Pandi, PAVB melihat dengan saksama bahawa usaha untuk mencapai kejayaan dan mengukuhkan perpaduan menjadi tonggak utama bagi menentukan kestabilan politik Sarawak dan DUN Jepak amnya.