Pelbagai inisiatif diperkenal GPS, warga emas terus dihargai – Fatimah

KUCHING: Sebanyak 14 peratus penduduk Sarawak kini berumur 60 tahun ke atas dan kedua tertinggi di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini berdasarkan statistik daripada
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), MyAgeing Dashboard.

“Tertinggi kedua selepas Perak (15.3 peratus ) dan jelas lebih tinggi daripada purata kebangsaan yang sekitar 12 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Demi Rakyat Zon Selatan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Fatimah berkata, Sarawak akan mencapai satu tahap penting dalam sejarah demografinya iaitu memasuki status “negeri tua” apabila kumpulan warga emas melebihi lebih 14 peratus daripada populasi mencecah umur 65 tahun.

“Ini bukan sekadar perubahan angka, ia mencerminkan dinamika sosioekonomi, termasuk penurunan kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat,” tambahnya.

Beliau berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk memastikan warga emas terus dihargai dan antaranya program Kenyalang Gold Card (KGC).

“Setakat 30 September 2025, seramai 342,419 warga emas telah menjadi pemegang KGC,” katanya.

Di samping itu Faedah Kesihatan Untuk Warga Emas (SCHB) yang menyediakan faedah kesihatan bernilai RM500 kepada warga emas yang layak.

Fatimah berkata, ini untuk membolehkan mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan, rawatan asas dan ubat-ubatan di 290 klinik panel dilantik seluruh Sarawak.