Pembangunan Taman Agro Bebuling bermula tahun ini

SPAOH: Pembangunan Taman Agro (Agropark Bebuling) di kawasan seluas kira-kira 300 hektar di Spaoh dijangka bermula dalam tahun ini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, enam syarikat besar menunjukkan minat dalam pembangunannya yang mana mereka merupakan penyokong pertanian moden dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, agropark itu akan menjadi ‘game changer’ jika terbukti berjaya terutamanya dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani.

“Niche mereka terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan, berkebun, kepada ternakan ayam dan udang karang. Mereka boleh memainkan peranan sebagai syarikat utama dan akan mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menjadi petani kontrak mereka.

“Mereka akan menyampaikan ilmu pertanian moden selain membekalkan mereka dengan bahan penanaman atau pembiakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan bantuan baja daripada Jabatan Pertanian (DOA) kepada enam pekebun kecil kelapa sawit di sini hari ini.

Bantuan itu diberikan kepada sekumpulan 249 pekebun kecil kelapa sawit, dengan DOA membayar kira-kira RM500,000 untuk 2,988 beg baja yang akan diagihkan kepada penerima dari 65 rumah panjang dan kampung di Spaoh, Bukit Saban, Debak dan Betong.

Dalam pada itu, Uggah berharap semua pihak terutama pegawai dari DOA dan agensi berkaitan lain serta petani memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan projek agropark tersebut.

Jelasnya, konsep pertanian moden perlu diperkenalkan kepada petani kerana ia jauh lebih menguntungkan berbanding kaedah tradisional.

“Pertanian moden berasaskan teknologi akan menjadikan pertanian kurang intensif buruh, akan lebih produktif dan menguntungkan.

“Kita mahu petani kita meningkatkan pengeluaran untuk menambah pendapatan mereka. Kita berharap rakyat khususnya generasi baharu dapat responsif terhadap pertanian moden,” katanya lagi.