MIRI: Sarawak hanya melaksanakan dasar pendidikan tinggi percuma di universiti milik Kerajaan Sarawak pada tahun hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, universiti milik Kerajaan Sarawak ialah Universiti Curtin, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Beliau menjelaskan, dasar itu tidak diperluaskan ke universiti lain yang bukan milik Kerajaan Sarawak termasuk universiti yang dibiayai Kerajaan Pusat.
“Kalau kita perluaskan ke universiti lain, ia dibiayai Kerajaan Pusat. Kita tidak mahu campur aduk dengan Kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pdengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala sebagai moderator sempena sambutan Hari Sarawak 2025, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, selain itu dasar tersebut juga akan membolehkan pelajar Sarawak bebas memilih kursus yang diminati mereka dan tanpa melalui tapisan Unit Pusat Universiti (UPU).
“Biarlah kita tumpu kepada universiti kepunyaan Sarawak. Lihat negara Nordic seperti Norway termasuk Jerman. Jadi harapan kita sekarang, anak kita punyai ilmu terkini untuk masa depan,” tambahnya lagi.
Hadir sama Timbalan-timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.