Penduduk kawasan Paya Bakong, Debak terima cek pampasan projek infrastruktur

DEBAK: Kerajaan Sarawak membuktikan komitmen terhadap kebajikan rakyat apabila menyelesaikan bayaran pampasan tanah bagi projek naik taraf infrastruktur di negeri ini.

Seramai 85 penduduk dari kawasan Paya Bakong dan Debak menerima cek pampasan dalam majlis penyerahan di Dewan Millenia Debak, semalam, yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam.

Projek naik taraf Jalan Paya Bakong dan Jajaran Debak yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong bertujuan meningkatkan aksesibiliti serta keselamatan sistem perhubungan darat penduduk.

Pembayaran pampasan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong bagi memastikan bayaran dibuat secara adil mengikut peruntukan undang-undang.

Fasa pertama projek melibatkan pembinaan jalan sepanjang enam kilometer dengan lebar 5.5 meter dan kini mencatat kemajuan 60.23 peratus, mendahului jadual asal, serta dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.