KUCHING: Lebih 1,400 pengguna bot berdaftar di Sarawak kini layak menikmati manfaat di bawah program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Faedah itu selepas kerajaan memperluaskan pelaksanaannya ke negeri berkenaan bagi memastikan kumpulan sasar menerima bantuan secara menyeluruh.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpu memberitahu, peluasan itu dibuat hasil semakan bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri yang berkaitan selepas program sama diaktifkan di Sabah minggu lalu.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada komuniti pesisir yang bergantung kepada bot sebagai pengangkutan utama, termasuk nelayan dan penduduk luar bandar.
“Kerajaan MADANI telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak,” jelas kenyataan itu hari ini.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan peningkatan siling penggunaan petrol bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini, sebagai langkah membantu meringankan kos operasi.
MoF menjelaskan, penambahbaikan itu dibuat selepas menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang melibatkan lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa di seluruh negara.
“Langkah ini sejajar dengan pendekatan bersasar kerajaan untuk memastikan golongan yang benar-benar layak menikmati bantuan subsidi,” kata kementerian itu lagi.
Selain itu, lebih 11,400 pemegang lesen memandu baharu turut layak menerima manfaat BUDI95, melibatkan 11,200 pemandu yang baru memperoleh lesen dan 260 yang memperbaharui lesen masing-masing baru-baru ini.
Dengan peluasan terbaharu itu, lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menikmati manfaat BUDI95 termasuk pengguna kenderaan persendirian, nelayan, pemandu teksi serta e-hailing.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan program subsidi bersasar ini berjalan dengan telus, lancar dan memberi manfaat terus kepada rakyat selain memperkukuh mekanisme pemantauan dan pelaporan bagi mengelak ketirisan.
Menurut MoF, penambahbaikan terhadap BUDI95 akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem subsidi lebih adil dan efisien mengikut keperluan semasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut atau menyemak kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI, talian 1-300-88-9595 atau WhatsApp +603-2631 4595 manakala semua urusan disahkan selamat melalui sistem MyDigital ID