Penginapan sementara keluarga pesakit HUS diperkasa menerusi fasa kedua

KUCHING: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan membantu penyelarasan operasi fasa kedua kemudahan penginapan sementara kepada keluarga pesakit di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata kemudahan ini diwujudkan bagi meringankan beban keluarga pesakit yang terpaksa menunggu berhari-hari malah sehingga berbulan lama sepanjang proses rawatan.

Pada masa sama, kemudahan itu bagi menampung keperluan waris pesakit kurang berkemampuan.

“Projek itu kini masih menunggu kelulusan kerajaan negeri serta
Jabatan Kebajikan sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Setelah diluluskan, YKN akan membantu dari segi pengurusan kebajikan serta penyelarasan operasi kemudahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas program Ziarah Kasih Aidilfiri “Mindness Tour Kaunseling Kasih PSSS Kamek Nengar, Kamek Nulong dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima di Kampung Tabuan Lot di sini, hari ini.

Nancy juga berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Yayasan OBYU yang turut membantu membina fasa kedua menggunakan bangunan heritage yang lama.

Katanya, kemudahan seumpamanya turut wujud di Sibu dan Miri, namun kebanyakannya merupakan bangunan lama yang memerlukan naik taraf bagi memenuhi keperluan semasa.