Pensijilan ISO 29001 wajib bagi syarikat gas mulai tahun 2026

KUCHING: Mulai tahun 2026 semua syarikat yang terlibat dalam industri gas di Sarawak diwajib mendapat Pensijilan ISO 29001, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Beliau berkata, dokumen itu bertujuan memastikan keselamatan dan pengurusan risiko dalam industri tersebut mematuhi piawaian antarabangsa.

“Pensijilan itu akan menjadi syarat wajib semasa pembaharuan dan permohonan lesen yang dikeluarkan oleh kementerian bermula 2026,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar bertajuk Raising Awareness for Achieving ISO 29001: Elevating Your Quality Management in Oil and Gas – Competitive Advantage di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini penting untuk memastikan semua syarikat mematuhi aspek keselamatan dan risiko yang ditetapkan oleh pensijilan ini.

Beliau menegaskan syarikat-syarikat mempunyai tempoh kelonggaran sehingga 2026 untuk memenuhi keperluan itu.

Selepas itu, katanya setiap permohonan atau pembaharuan lesen mesti disertakan dengan pensijilan ISO 29001.

“Keperluan ini terpakai kepada semua syarikat yang terlibat dalam industri gas, termasuk mereka yang mempunyai hubungan dengan Petronas. Pensijilan ini akan memastikan kita berada pada tahap keselamatan dan pengurusan risiko yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Mengulas mengenai tahap kesedaran syarikat tempatan mengenai keperluan itu, Julaihi berharap seminar yang dianjurkan hari ini akan membantu meningkatkan pemahaman mereka tentang kepentingan ISO 29001.

“Kita harap kesedaran dapat ditingkatkan melalui seminar hari ini yang dihadiri oleh 100 peserta. Ini adalah langkah pertama untuk memastikan semua pemain industri gas menyedari pentingnya pensijilan ini,” tambahnya.