DARO: Cadangan penubuhan Pasukan Sukarelawan Bomba Komuniti semakin penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan penduduk, khususnya di luar bandar yang berdepan cabaran jarak dan tempoh masa tindak balas kecemasan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, keperluan itu menjadi lebih mendesak susulan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Semop awal pagi tadi.
Menurut beliau, masyarakat perlu dilengkapi dengan pengetahuan asas serta kemahiran awal dalam menangani kebakaran bagi membolehkan tindakan segera diambil sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Penduduk perlu dilengkapi dengan pengetahuan asas dan kemahiran awal dalam menghadapi kebakaran supaya tindakan pantas dapat diambil sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu juga menegaskan bahawa usaha memperkasa komuniti melalui penubuhan pasukan sukarelawan berkenaan terus dipergiat bagi memastikan tahap keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Beliau turut mencadangkan agar kemudahan asas seperti pam air, hos dan tong air disediakan di beberapa lokasi strategik dalam kampung sebagai langkah awal mengawal kebakaran, terutama di kawasan yang sukar dimasuki jentera bomba.
Terdahulu, sebuah rumah kediaman jenis tidak kekal di Jalan Kampung Masjid Lama Semop Hilir, Kampung Semop musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.39 pagi.
Dalam lawatan ke lokasi kejadian, Abdullah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan segera melalui Lembaga Kebajikan Islam Pulau Bruit dan Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Pulau Bruit.
Antara bantuan kilat yang disalurkan termasuk bantuan makanan serta kelengkapan bilik tidur hasil kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Daro dan Pejabat Daerah Daro.
