Permohonan penduduk PPR Taman Bandaria akan dibincang

BINTULU: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bandaria, Kemena di sini, mengemukakan tiga permohonan semasa lawatan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama-sama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee di sini.

Permohonan itu ialah meminta PPR Taman Bandaria menjadi milik penghuni, menaik taraf tangki air dan laluan pagar di antara perumahan itu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Segan sejauh 8 kilometer (km).

Menurut ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) PPR Taman Bandaria, Morsalin Rambli, ketika ini rumah yang didiami lebih 7,000 orang itu menggunakan konsep sewa beli.

Sementara itu, tangki air taman sekarang masih berkongsi dengan Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC).

Sementara itu, Awang Tengah dalam ucapan beliau memberitahu segala permohonan itu akan dibincang dengan pihak bertanggungjawab termasuk Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Katanya, pasukan khas komuniti yang telah diwujudkan akan menyelesaikan masalah berkaitan.

Sehubungan itu, Awang Tengah meminta masyarakat di kawasan perumahan tersebut agar bersatu padu, saling membantu dan mengekalkan perpaduan untuk melaksanakan segala permintaan rakyat.

“Untuk melaksanakannya penduduk di sini (taman) harus memberi sokongan padu kepada calon GPS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak, 4 November ini,” katanya.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan calon GPS DUN N67 Jepak, Iskandar Turkee.