Peruntukan naik taraf Dewan Masyarakat Kampung Sebat Melayu ditambah

LUNDU: Seramai 30 penerima asnaf dari Zon Sematan menerima sumbangan menerusi Program Penyampaian Sumbangan Asnaf sempena bulan Ramadan di sini, semalam.

Program ini merupakan sebahagian daripada siri program tahunan Pusat Khidmat N.3 Tanjong Datu yang meliputi empat zon utama iaitu Lundu, Pandan, Sampadi dan Sematan, bagi mengeratkan silaturahim serta memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan menyantuni penerima sumbangan itu.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur kerana beberapa cabaran yang dihadapi sepanjang empat tahun lalu, khususnya isu banjir di Zon Sematan, berjaya ditangani melalui penambahbaikan sistem pengairan yang lebih efektif.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha mendapatkan peruntukan baharu akan diteruskan bagi pembangunan kampung dan masjid.

Di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Greater Kuching (GCKDA), beliau mengumumkan penaiktarafan Dewan Masyarakat Kampung Sebat Melayu dengan peruntukan ditambah dari RM750,000 kepada RM1 juta bagi keselesaan penduduk.

Azizul Annuar bakal mengadakan Rumah Terbuka pada 4 April 2026 di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, Lundu.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup; wakil Pegawai Daerah Lundu, Anwar Fakhiryuddin Matmit dan Mohd Ameerullah Roslan; Pemanca Jumahdi Sabian serta Ketua Kampung Sebat Melayu, Wahit Jaee.