Peruntukan RM30 juta bina kompleks sukan, stadium tertutup

KABONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi membina kompleks sukan dan stadium tertutup di Daerah Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, langkah ini penting dalam menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sebagai pusat program pembangunan sukan luar bandar.

Katanya, ini juga langkah kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai golongan muda dan belia dari kawasan luar bandar cemerlang dalam bidang sukan.

“Saya mewakili penduduk Kabong mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa mengambil berat terhadap keperluan belia-belia di Sarawak khasnya dan DUN Kabong amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan bersama Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Ketua Penolong Setiausaha Tetap, Seruji Ludin di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang, di sini.