SEMATAN: Projek Tebingan Sungai Sematan akan diteruskan dengan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, peruntukan tambahan ini bagi menyambung laluan tebingan sungai sedia ada sehingga ke kawasan Normah Seafood Family di Tanah Hitam I.
“Projek tersebut turut merangkumi pembinaan sebuah jeti baharu yang dijangka mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selain merancakkan sektor pelancongan di kawasan pesisir Sematan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Gerai Makan dan Tebingan Sungai Sematan hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim menjelaskan, sebanyak 19 unit gerai makan Sematan dinaik taraf menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM926,030.
Beliau menjelaskan, projek menaik taraf Tebingan Sungai Sematan yang dibiayai Kerajaan Sarawak dengan peruntukan RM849,980 selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau merakamkan penghargaan kepada ADUN Tanjong Datu atas kepimpinan berterusan dalam memperkasa pembangunan.
