Peruntukan RM49.4 juta laksana enam projek pembangunan utama Maludam

BETONG: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM49.4 juta bagi melaksanakan enam projek pembangunan utama di kawasan Maludam di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Ia bertujuan memperkukuhkan infrastruktur dan kesejahteraan penduduk luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, peruntukan itu melibatkan projek mitigasi banjir, sistem saliran, kemudahan komuniti serta penempatan semula penduduk terjejas hakisan pantai.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek BDDA di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam, bagi menilai status pelaksanaan projek dan perancangan strategik kawasan Maludam.

Projek mitigasi banjir merupakan yang terbesar dengan peruntukan RM40 juta itu kini berada di peringkat reka bentuk.

Ia dijangka ditender pada suku keempat 2026. Projek sistem saliran dan perparitan bernilai RM7 juta turut dijadual untuk tender pada tempoh sama.

Selain itu, pembinaan Dataran Kebudayaan Maludam bernilai RM1 juta yang dilaksanakan Majlis Daerah Betong kini giat dijalankan dan dijangka siap pada Jun tahun ini, menyediakan ruang aktiviti sosial dan kebudayaan kepada masyarakat.

Dua projek lain ialah pembinaan Balai Raya JKKK Kampung Triso dan Balai Raya Pembangunan Wanita dan Ibu Triso, masing-masing bernilai RM700,000, dijangka ditender suku kedua 2026 selepas kelulusan tapak dan reka bentuk diperoleh.

Turut dibincangkan ialah pemindahan enam rumah keluarga mangsa hakisan pantai di Tanjung Riong, Maludam, yang kini di peringkat kelulusan tapak dan reka bentuk, dengan tender dijangka suku kedua 2026, dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong.