SARATOK: Surau Kampung Pagan bakal menerima peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun ini berjumlah RM100,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek tersebut dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok sebagai agensi pelaksana dengan majlis serah tapak diadakan dekat sini semalam.
Menurut beliau, kontraktor bagi projek naik taraf itu telah dilantik melalui proses cabut undi yang dikendalikan oleh Pejabat Residen Bahagian Betong bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam pelaksanaan projek.
“Surau Kampung Pagan telah melalui beberapa fasa pembinaan sebelum ini di bawah peruntukan RTP. Kini, bangunan surau ini sudah digunakan penduduk,” katanya.
Tambah Mohamad Duri, projek pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dilaksanakan secara berperingkat menggunakan dana RTP memandangkan kos pembinaan yang besar dan melibatkan pelbagai kemudahan asas.