Peserta Saribas International MTB Jamboree didedah pengalaman luar bandar

DEBAK: Seramai 150 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Saribas International MTB Jamboree di sini.

Mereka terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Brunei dan Afrika.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, setelah lima tahun tertangguh, penganjuran kali ini istimewa kerana disertai peserta antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata program itu bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi sebagai platform merancakkan sektor pelancongan luar bandar, khususnya di Debak dan Saribas dalam Bahagian Betong.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Saribas International MTB Jamboree 2025 di Debak malam tadi.

Ujar beliau, jambori itu bukan sahaja mengangkat nama Saribas dan Betong ke peringkat antarabangsa, malah memperkukuh usaha kerajaan negeri menjadikan pelancongan sukan sebagai pemacu utama pembangunan luar bandar Sarawak.

Beliau turut memuji sambutan luar biasa daripada peserta dan masyarakat yang memanfaatkan peluang untuk mempromosikan budaya, makanan tradisional serta keindahan kampung kepada pelancong.