DALAT: Pesta Besaug Dalat 2025 sekali lagi memperlihatkan peranannya sebagai platform berprestij dalam memperkukuh identiti dan integrasi budaya Melanau.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata pelbagai acara tradisi dan moden berjaya menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh perpaduan dan kemeriahan.
Katanya, penganjuran tahun ini menyerlahkan kekuatan budaya Dalat yang kekal terpelihara melalui penglibatan aktif masyarakat setempat merentasi semua peringkat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen dan dedikasi tinggi sejak peringkat perancangan hingga ke pelaksanaan, termasuk aspek logistik, keselamatan serta pengurusan peserta.
“Kejayaan pesta yang berlangsung sejak 22 November lalu hasil kerjasama erat antara jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Pesta Besaug 2025 di Tebingan Sungai Dalat semalam. Teks ucapan beliau dibaca oleh Pegawai Daerah Dalat, Matthew Hubert,
Fatimah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, berharap semangat kerjasama dan perpaduan yang ditonjolkan sepanjang penganjuran tahun ini dapat diteruskan dan menjadi teladan bagi edisi akan datang.
Pesta Besaug Dalat 2025 turut menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan Melanau, antaranya bengkel tarian Melanau, persembahan bermukun serta Pertandingan Perahu Bidar, acara tradisi yang paling dinantikan saban tahun.
Selain mengetengahkan seni dan adat, pesta ini juga menyediakan platform penyertaan untuk kanak-kanak dan belia melalui pertandingan mewarna, Putera & Puteri Besaug, E-Sukan serta kursus keusahawanan, sekali gus memupuk kecintaan terhadap budaya dan penglibatan komuniti sejak usia muda.
